Thursday, 9 March 2017

Pintu

Lari dari pintu ke pintu mencari detik terbukanya Rahmat
Kita tahu kita tak akan pernah sempurna membentuk titian sirat panjang menuju hakikat Syurga
Ranjau pengawal memerhati tanpa kasihan, menghalang dari sampai, sedang kita di atas punya insan yang menunggu kunjungan
Sampai bila?
Mahu harap pada kasihan tanpa sendiri mampu awal sebelum aral ditarik panjang.

Terus kita buat pusingan jauh dari jalan yang sebenar yang kita tahu
Satu titi yang paling kurang tidak ditutup penghadang,
cuma tak pasti, apakah benar belum ditutup kitaran?
Dari jalan itu kita cuba ke atas membina satu sirat sendiri yang dirasa benar.

Ah, ternyata benar!

Di atas kita cari pula mereka yang tadinya menunggu dalam kelompok ramainya manusia dari seluruh alam
Mustahil jumpa detiknya pembesar suara sudah kedengaran di cuba ulang kali
Tapi masakan mahu pasrah?
Aku sudah cuba lepasi pengawal menghentak bahu disuruh laju, bina titi sendiri untuk sampai ke sini, tidak ketemu manusianya kemudian lemah?
Dari satu titik kita cari pemula sehingga terlihat di hujung sana mereka

Usaha penat lelah, peluh mencurah, paling kurang kita harap semua ini berbayar
Bagaimana jika ini kosong pulangnya tanpa ada secebis pun bawaan?
Ruginya kita!
Kejar apa kita kalau berciciran semua yang dibawa saat lari-lari ke hujung?
Semoga rahmat ke atas kita semua


Nurul Awfa
Makkah Al-Mukarramah

Monday, 26 December 2016

TAMAT 2.0

Assalamualaikum.

Dulu, masa TAMAT 1.0 aku buat cerita sedih. Masa tu rasa down sangat. Rasa "Ya Allah, aku tak patut duduk kat sini". Rasa nak balik Malaysia.

Azam aku masa tu, aku takkan join lagi dah persatuan. Mende dowhh teruk giler. At least bagi la sokongan sikit. Rasa macam tak ada support system langsung masa tu. Ye la. You know. Like sotong gitu..

Tapi Tuhan Maha Berkuasa atas segalanya. Tuhan takdirkan aku masuk dalam tim MPMMJ sebagai Ahli Majlis Mesyuaratnya.
Masa jadi AMM ni, kau ingat best? Sekali lagi Tuhan uji aku. Tuhan datangkan aku ilham untuk terima sebuah BK (Badan Koordinator which functions like a biro/unit/lajnah or what you call it is) yang rupanya aku tak mampu nak bawak pun. Totally dan sesungguhnya itu bukan minat dan kelebihan aku. Dalam masa yang sama, Tuhan hadirkan aku UZS yang mana aku bertindak sebagai Timbalan Bendahari di dalamnya, which is obviously my kind of passion.
Jadi sepanjang separuh sesi lepas, aku sentiasa terfikir, "Aku dah tak patut teruskan untuk duduk dalam MPMMJ" dan aku target untuk Timbalan Pengerusi UZS selepas ni.

Sekali lagi, Tuhan Maha Berkuasa atas segalanya. Aku tergerak hati untuk bertanding bagi jawatan AMT Siswi MPMMJ 2017/2018. Ditambah dengan sokongan orang sekeliling, maka....

TADAA!!

The week of turmoils went away already and I won the seat I wanted.

Hurmm...
Alhamdulillah. Sekurang-kurangnya ada peluang untuk aku baiki lagi prestasi aku dalam MPMMJ. Ini, aku anggap peluang kedua. Tak patut aku sia-siakan.

I'll cherish this session, Inshaa-Allah.

And here I am.
Nurul Awfa binti Muhammad Noor Habibi, Treasurer-elect MPMMJ 2017/2018.

------------------------------------------------------------------------------------------

Allah Bless us through out out journey.

Saturday, 17 December 2016

Aku, terasa ingin berceloteh

Dalam seminggu ni, rasanya semakin banyak kata-kata yang keluar dari mulut. Entah. Kesibukan kadang buat kita tak tentu arah. Ini mahu diusik, itu mahu disampuk, sana mahu didengar.
Ah! Pening.

Aku belum cerita rasanya.

Untuk kali kedua selepas Pilihanraya PERMAI 16/17, kali ini aku mencalonkan diri sebagai Ahli Majlis Tertinggi Majlis Perwakilan Mahasiswa Malaysia Jordan (MPMMJ) 17/18. Aku sasarkan kerusi Timbalan Bendahari MPMMJ.
Kenapa?
Pertama, aku ingin bersama dengan orang yang aku cinta.
Kedua, sesi kali ini (sesi 16/17), aku berperanan sebagai Timbalan Pengerusi Badan Koordinator Ekonomi dan Keusahawanan MPMMJ, tapi serasa aku dan aku sangat pasti, aku tak mampu jalankan peranan aku itu sehabis baik. Aku main. Aku culas. Dan utamanya, aku tak mahu akhiri semester aku di Jordan dalam keadaan aku belum memperbaiki apa yang telah aku rosakkan (which is BKEK).
Ketiga, aku suka. Dulu aku pernah terfikir untuk menghabiskan semester terakhir tanpa sebarang jawatan. Nampak gayanya, itu bukan aku. Aku, duniaku dunia sosial. Dunia yang kau perlu ada sesuatu untuk manusia.

Tapi alasan yang kedua terlihat lebih kukuh.

------------------------------------------------------------------------------

Habis cerita pilihanraya.

-----------------------------------------------------------------------------

Aku mahu membebel.
Tentang pilihanraya dan manusia.

Jujur aku bersyukur tuhan takdirkan aku bergerak untuk pergi mencalonkan diri, dan disertai sokongan yang tak berbelah bahagi. Jangan nafikan rasa syukur aku.
Melalui ini, aku kenal lebih luas. Aku kenal pemikiran. Juga aku kenal perasaan.
Kalau ikut penat, aku penat dengan karenah.
Semua ingin karenah masing-masing dilayan. Apa salahnya kalau kau bertenang dan berambus?
Apa salahnya kalau kau terima keputusan orang?
Juga apa salahnya kalau kau mengalah?

Ah Awfa! Kau. Egois!

Rendahkan hati.
Cuba jadi optimis.

Kalau bercakap soal sakit, kena jarum jugak sakit.
Cabut. Balut. Kemudian teruskan hidup seperti biasa.

-------------------------------------------------------------------------------

Hari ini aku cuma mahu membebel.

-------------------------------------------------------------------------------

Allah, redhoi aku!

Tuesday, 29 November 2016

Dunia kau

Benang,
aku tunggu kau datang.
Tapi kau kata kau cuma picisan.

Benang,
tali itu perlukan kau.
Tapi kau kata ada yang lebih kuat.

Benang,
angin itu meniup.
Tapi kau, dari dulu sampai sekarang, selesa.
Menari cuma sebagai retas.
Kau ikut rentak.

Benang,
apa sebenarnya yang nenek moyangku fikir ketika mereka cipta kau?
Apa angan-angan yang mereka letak pada kau?
Apa pula yang kau lakukan sepanjang itu?

Benang,
selepas nenek moyangku yang menamakan kau,
datang pula nenek moyangku yang lain.
Kata mereka, "Usah ditegakkan benang yang basah."

Kenapa kau basah?
Kenapa kau kalau kau basah, kau tak boleh ditegakkan?
Hakikat.
Nakal.
Aku sudah bilang jangan dekati air.

Benang,
tak pernahkah kau dengar nama kau disebut penting?

Biar aku cerita.
Seleksi kau dan keturunan kau vital.
Gagal kau, walau kecil, berbekas.
Kau nampak fungsi kau apa sebenarnya?

Biar aku sambung cerita lagi.

Nenek moyangku dulu guna akal cipta kau.
Pilinan S atau Z?
Dua-dua punya kesan.
Kau sedar?

Dulu, nenek moyangku guna serat alami cipta kau.
Cuma semakin lama, yang alami itu habis.
Tinggal yang tak asli.
Tapi nama kau masih benang.

Kalaupun kau rasa kecil gara-gara saizmu,
ingat, kau adalah hasil banyak komponen lain.
Komponen itu mungkin sedang punya rasa yakin yang tinggi.
Sehingga dia mahu korbankan dirinya, bergabung dengan yang lain; membentuk kau.
Kalaupun kau rasa kecil, jangan kecilkan pengorbanan yang lain itu.

Benang,
tujuan aku cuma mahu kau tahu satu.
Kau ada fungsi.
Besar.

Kalau tak di sini, di sana.
Sebab kau benang!

Wednesday, 27 July 2016

Hari ini aku bangkit

Ini cuma memerlukan semangat.
Ini cuma memerlukan penggerak.
Ini cuma memerlukan sokongan.
Ini juga cuma memerlukan sikap positif.


Aku jatuh beberapa bulan lepas. Boleh juga aku katakan aku dalam keadaan jatuh tahun lepas. Siapa saja yang sedar?
Bukan meminta kalian sentiasa fokus pada aku dan sedar bila aku jatuh bila aku kuat. Kalian takkan sanggup buat itu. Kalian takkan mampu buat itu. Aku tahu, sebab aku juga tak mampu sentiasa memerhatikan kalian. Pada saat kalian jatuh juga aku tak selalu ada.
Apa yang aku cuba nak sampaikan?
Ayah aku pesan. Sejauh mana pun kita berkawan, jangan sampai percayakan nyawa. Nyawa itu percayakannya hanya pada keluarga. Sekukuh mana pun kita usaha untuk menapakkan hubungan persahabatan itu ke bumi, hakikatnya dia akan sentiasa ada lopong.
Boleh jadi hari ini kau benci dengan satu sikapku. Lalu kau luahkan pada seseorang. Esoknya kau sudah kembali biasa perasaannya. Sudah tidak benci. Tapi tidak kau luahkan pada orang yang sama. Kau diamkan. Terus dia mengira bahawa kau masih benci.
Boleh jadi ketika ini aku benci pada perangaimu. Lau aku luahkan pada seseorang. Esoknya aku sudah kembali biasa perasaannya. Sudah tidak benci. Tapi tidak aku luahkan pada orang yang sama. Aku diamkan. Terus dia mengira bahawa aku masih benci.
Hidup ini begitu.
Ada rodanya.
Kalau kau tak di atas, maknanya kau di bawah. Kalau kau tak di bawah, maknanya kau di atas.
Jangan cepat melatah. Aku tak cuba untuk menafikan pentingnya sahabat, kawan atau apa sahaja istilah yang kau berikan. Bahkan ketika aku menulis ini saja, aku masih rindu pada teman-temanku di seberang laut sana. Aku cuba ingin kau pijak di bumi nyata. Kalau sedih, tidak tenang, gelisah, berserabut, pergilah pada keluarga. Bahagialah bersama mereka dulu. Baru kau cari kawan.
Tapi aku sedar, masih ramai yang keadaannya tak seperti aku. Justeru, tulisan ini tidak dilempar ke atas kepala semua. Pada segelintir sahaja. Terutama pada penulisnya.
“Kalau kau rasa susah, pandanglah ke bawah.”
Pernah aku letakkan ayat ini dan aku ditanya, kenapa ke bawah pandangnya? Bukankah di bawah itu cuma tanah. Lupa aku apa yang aku jawab ketika itu, tapi bawah itu hanya secara literal. Bawah itu ada untuk kita sedar yang kita ini masih di atas. Bawah itu, kalau kau kata hanya tanah, untuk kita sedar asal usul. Bawah itu tidak datang tanpa sebab. Jadi renung ke bawah.


Hari ini aku cuba bangkit.
Hari ini aku cuba semangat.
Hari ini aku cuba positif.
Bukan kerana aku kuat tapi kerana hari ini terasa seperti mendapat sokongan.
Juga hari ini terasa seperti baru.

**********************************************************

Allah, bless us

Sunday, 17 April 2016

Jordan #5

Hari Jumaat. Berpeluang bersama-sama mendengar forum dari delegasi Timbalan Menteri. Diwakili oleh Senator Dato' Dr. Asyraf Wajdi Dusuki (Timbalan Menteri JPM), Sahibus Samahah Dr. Zulkifli Al-Bakri (Mufti Wilayah Persekutuan) dan Dr.Yusri Mohamad (YDP YADIM).
Berbicara soal ISLAM. Soal bagaimana membangun kefahaman bagi Malaysia.
Perkara 3, Islam agama rasmi persekutuan. Jelas dan nyata satu senjata ampuh, satu benteng kukuh untuk Malaysia terus menggerakkan agenda dakwah Islam. Tiket yang tidak dapat dipersoalkan oleh mana-mana pihak (sepatutnya) jika kerajaan, bukan kerajaan mahupun marhaen cuba membangunkan kefahaman Islam.

Aku bukan peminat kerajaan. Bukan juga peminat pembangkang mahupun mana-mana badan bukan kerajaan dan entiti. Tapi aku tertarik dengan satu perkara yang hangat dibincangkan ketika isu perkara 3 ini dibangkitkan.

Islamkah Malaysia? Atau kita cuma negara sekular yang bertopengkan Islam?

Semua punya padangan. Semua punya persepsi.
Tapi tak sangka, penjelasan yang aku dapat malam itu, membuatkan persepsi aku lari. Menjadikan pandangan aku tak semacam dulu lagi.
Boleh kata, tiga titik pada ayat yang menunggu sambungan sudah dikomakan.
Pastilah, belum bernoktah.

Kata Dr. Yusri, jelajah mahasiswa 2.0 ini kerana seharusnya anak-anak remaja masih dalam fasa mencari dan mengkaji. Belum menoktahkan penjelahan.
Bagi aku, kalau dinoktahkan juga tidak mengapa. Karangan yang berjela-jela itu juga bernoktah. Karya-karya agung juga bernoktah. Kalam suci tuhan juga punya hentiannya. Cuma, setelah noktah itu berakhir, cuba sambung lagi jalan ceritanya. Biar berkajang-kajang. Apa-apa pun, itu bukan lah satu isu. Biar koma, noktah, tanda seru atau tanda soal yang diletakkan, yang pentingnya teruskan penjelahan.
Ditanya tentang isu Dr. Zakir Naik. Kalaulah terjadi, seorang cedekiawan hindu (yang membawa cara dan gaya yang serupa dengan Dr Zakir. Hanya berbeza ideologi pembawaan) datang ke Malaysia adakah akan dibenarkan atau turut dihalang? Apakah akan ada bias dari pihak-pihak tertentu ketika itu?
Jawapan yang sangat aku suka, katanya, apa tonggak kita untuk berkata sesuatu itu bias? Apa takrifan bias yang sebenarnya?

Aku suka yang kembali kepada dasar. Aku suka yang menyebabkan kita berfikir. Tapi aku tak suka yang meninggalkan tanpa jejak petunjuk, berputar-putar sekitar awanan.

------------------------------------------------------------------

"Jangan mengharapkan kesempurnaan melainkan kita sendiri turun untuk menyempurnakan."
Kata-kata ibunda Dr. Asyraf yang diwariskan kepada kami malam itu.
Dalam.
Sebab sempurna itu impian, tapi untuk menyempurnakan masih ramai yang terikat kaki dan tangannya. Terikat? Atau sebenarnya mengikat?

Apa sempurna bagi manusia?

Jujur, sebagai manusia, aku sendiri tak pasti. Sempurna semacam apa yang diinginkan.
Apabila hidup bagai tiada ujian? Lurus tegak bagai tiang bendera?
Bosan.
Tapi aku juga antara manusia yang inginkan kesempurnaan.

------------------------------------------------------------------

Dr. Zulkifli?
Tenang. Sangat tenang. Peribadi sama yang aku lihat di luar mahupun dalam kaca empat segi di rumah dulu. Kagum. Bagaimana boleh setenang itu?
"Kefahaman itu adalah suatu perkara yang pelik. Jadi ketika mana timbul kefahaman yang macam-macam, carilah guru yang baik."

'-ism' (bak kata moderator) sentiasa merebak. Sebab tuhan kurniakan akal untuk manusia berfikir. Akal yang sentiasa bergerak mempersoalkan. Hatta menjangkaui bagaimana hakikatnya tuhan.

-----------------------------------------------------------------

Begitulah kisahnya semalam bersama delegasi dari Malaysia. Mereka banyak ilmunya. Banyak makan garam.

-----------------------------------------------------------------

Aku dan konklusi diri.

Menjadi manusia tidak mudah. Tambah-tambah kalau kau manusai yang hidupnya semata-mata mengejar sukanya manusia.
Menjadi pelajar juga tidak mudah. Asyik ribut nak mencapai angka pada kertas periksa.
Menjadi hamba tuhan adalah tanggungjawab yang paling susah. Sebab kau takkan pernah tahu tuhan terima atau tolak amalan. Kau cuma perlu tanamkan keyakinan. Sebab tuhan juga yakin turunkan kau untuk menghirup dan menghidupkan pengharapan.

Konklusi dan aku.

Kalaupun kau punya pandangan, tidak 100 peratus pandangan kau tak tersasar.
Pandangan yang satu itu betul dan memikul kesalahan. Pandangan yang lain itu salah, dan memikul kebenaran.
Macam mana nak dapatkan kepastian? Heh!

-----------------------------------------------------------------

Memegang title mahasiswa Jordan bukan satu manisan, gula-gula atau aiskrim di musim panas. Lebih banyak kaca, ribut pasir dan tanah lapang yang ketandusan. Tapi hakikatnya, kau takkan pernah dapat memastikan mahupun menoktahkan apa-apa. Kau cuma boleh percaya, bukan beriman.
Mana kau sangka disebalik kaca, ribut pasir dan tanah tandus yang kau nampak saat pertama kali kaki menjejak, ternyata bumi ini bumi syam. Tempat pijak sahabat.
Mana kau tahu, disebaliknya rebelnya kau menjadi budak shariah, rupanya hati kau jatuh tak dapat diselamatkan.
Mana kau dapat kesan, rupanya disebalik huruf-huruf arab yang kau tak faham, ilmunya segudang.

Kau takkan dapat sangka, tahu dan kesan melainkan dengan izin tuhan.


Yang merepek dek batalnya ujian,
Nurul Awfa


Allah, bless us.

Tuesday, 12 January 2016

Rantau

"Never in the life to encounter easy things." -Umi-

Apabila bercakap tentang susah, selalu yang nampak susahnya itu pada perbuatan, pada amalnya.
Susah nak bergerak.
Susah nak menghafal.
Susah nak membaca.
Susah nak gembira. (Hah!)

Perasaannya sekarang seakan dihempap. Dihempap apa? Haha. Entah. Cuma rasa terhempap. Rasanya dihempap gajah barangkali. (Sebab dihempap batu itu itu terlalu arus perdana (Baca: mainstream))

Ceritanya, ditolak. Ceh!
Sedih? Pasti. Siapa yang tak sedih kena tolak.
Tapi ada sedikit kesyukuran di situ. Kesyukuran yang menampakkkan aku bukan terlalu tidak berimankan qada' dan qadar tuhan.
Hemm.. Ada ke yang namanya 'tidak terlalu beriman' kalau mengaku orang Islam?
Dasar!

Bukan. Ubah kosa kata dan ayatnya.
Kesyukuran yang menampakkan aku tidaklah bertuhankan semata-mata pilihan akal sedang pilihan itu juga kuasa mutlak tuhan. Aku punya iman pada tuhan, yang juga sedang memilih dan merancang untukku walaupun dia tahu aku sendiri punya rancangan.
Kata maturidiyyah; kau punya akal yang tuhan kurniakan untuk berfikir dan akalmu memang mampu berfikir, tapi tak semua yang kau fikir baik itu baik pada pandangan tuhanmu dan tak semua yang kau fikir buruk itu buruk juga pada pandangan-Nya.

Sungguh!
Macam mana hebatnya akal kita berfikir, macam mana tersebar luasnya pun formula yang kita cipta, masih tetap ada yang namanya syariat tuhan; yang kau tak mampu fikir dan tak mampu adakan.

Apa ceritanya tadi?
Ah!
Ditolak.
Ya. Jadi aku ditolak. Puhh.. Haha. Susah rasanya mahu menulis cerita ini. Hati masih terdetik rasa tidak redho. Rasa tidak mampu menerima. Tapi siapa kau? Tanpa kuasa. *tunduk kepala*
Disebabkan cerita ditolak ini (kali kedua dalam satu tempoh yang singkat), runtuh keyakinan.
Keyakinan yang memang sebenarnya aku tak punya pun pada hakikat. *cebik*
Mereka runtuhkan,.(?)
Bahkan tak terlalu berlebihan kalau aku kata, mereka debukan.
Sebab bila aku cari sisa-sisa runtuhan itu, tak aku temukan. Jadi aku fikir, mungkin sudah dibawa angin dingin tadi. Jauh ke dalam hutan, ke dasar lautan.

Jadi aku buka buku petak bercahaya. Buku petak yang aku sambung dengan talian seantero dunia.
Aku mula tulis. Tadi. Baru sebentar tadi aku mula.
Dengan harapan aku dapat bina istana, lengkap pengawal, bala tentera dan tembok kostantinopel yang tak runtuh dengan mudahnya.
Serik aku, serik. Serik berumah di tepi pantai. Takut dilambung ombak.
Serik.

Maka aku tarik diri.
Aku uzlah.
Uzlah dari dunia yang tak mahu menerima.
Istanaku hampir siap. Tembok inshaaAllah lengkap.
Aku bina dunia dan alamku sendiri.
Kalau tak mahu terima lagi, kau keluar dari sini. Jangan runtuhkan apa yang aku bina.
Peritnya. Hah! Tak tahu aku nak cerita.
Jadi keluar, kalau kau ingin.
Tembokku mudah dibuka dari dalam untuk keluar dan susah ditembusi.
Kalau susah untuk keluar, suarakan. Aku bukakan. Jerit sahaja. Aku pasti dengar.

Jadi,
ini istanaku.
Siap tembok, tentera dan bekalan. Kau cuma perlu bertahan kalau ingin kekal, tapi tiada paksaan.

Siap.

Wahai kesedihan, kamu sudah tak dialu-alukan.
Pergi sebab aku mahu gantikan kamu dengan kekuatan Al-Quran.